PERISTIWA YANG TAK MUNGKIN DILUPAKAN DALAM SEJARAH BISNES SAYA.- D'APPLE



PERISTIWA YANG TAK MUNGKIN DILUPAKAN DALAM SEJARAH BISNES SAYA. KEAJAIBAN DARI ALLAH..

Saya masih belum mengerti bagaimana saya boleh terselamat dari krisis kewangan ini 5 tahun lepas, kisah yang benar-benar berlaku kepada diri saya ..


Situasi saya pada waktu tersebut:

# Elektrik nak dipotong - tertunggak RM10,000.00

# Sewa RM4,000.00
# Hutang pembekal RM15,000.00
# Hutang kawan yang dituntut sebab terdesak (kalau tak silap dalam RM4,000.00)
# Semua pekerja berhenti tinggalkan kami berdua dalam keadaan blur
.
Berlaku dalam bulan Ramadhan 5 tahun lepas. Masa tu saya hanya ada sebuah kedai makan (D'Apple Cafe & Restaurant) dan RM100.00 tunai di tangan (dalam bank kosong dan tiada benda yang bernilai untuk dicagarkan)
Serius!! ianya benar, hanya tinggal RM100 sahaja.. (seingat saya, angka yang lebih tepat adalah RM97.00.. itupun dah korek kat semua tempat dan laci)
Hutang sewa, tnb, pembekal perlu dibayar dalam masa terdekat lebih kurang dalam RM40,000.00.
Menangis tak cukup air mata. Tengok anak-anak, memikirkan nasib mereka lagi deras air mata keluar. Bagaimanalah makan minum mereka, kebulur tak mereka. Macam-macam keluar.
Sudah dirasakan tiada jalan lagi, maka berpelukanlah suami isteri di satu sudut sambil menangis dari dinihari sampai ke pagi.
Mata bengkak, tubuh longlai kepenatan, tidur hanya beberapa jam. Namun tiada selesai jua masalah walaupun keluar air mata darah sekalipun.
Saya pandang muka isteri, (ucapan sayu dari hati) sambil usap pipi, "bertabahlah wahai hati, bertabahlah wahai isteri"..
Nak pinjam along? Takut, lagi pun apa yang nak dicagarkan.. Nak pinjam dengan adik beradik, ada yang dah pinjam, malu sebab hutang lama belum langsai. Tapi ada yang bagi RM500 seorang, Terima kasih Kak Muni dan Kak Tie, syukur.. .
Dunia dah gelap, buntu, terasa tiada jalan keluar, tangan terketar-ketar, betul-betul tak tahu nak buat apa dah, lidah kelu, penasaran dan 'blur'.
Hari-hari ditekan dengan panggilan meminta hutang. Tak reti dah nak cipta alasan. Hati dah tak keruan. Intai di jendela, mana tahu ditunggu si pemungut hutang..
Hidup tiada tenang walau seketika. Hidup dalam ke adaan tertekan sentiasa dan tiada putus putus menyebut "Ya Alah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah". Air mata berderai derai sentiasa..
Tak tahu nak buat apa, pergi cerita , mengadu, merintih dekat umi tersayang, tercinta. Minta doa, mintak restu tapi tak mintak duit. Umi minta bersabar. Mulai dari itu, tiada pernah tertinggal satu malam pun umi buat solat hajat. Mohon dipermudahkan urusan anak lelaki 'keras kepala' ni.
Asal je celik mata, menangis, sebelum pejam mata, pun menangis. Kedai makan tutup sebab terlalu sedih (hampir putus asa)
Salah satu sebab jadi teruk begini adalah kerana ditipu pekerja, tak jaga akaun dengan baik dan miss management. Dahla kena tipu oleh pekerja, bila tembelang pecah, semua angkat kaki. tinggal laki bini ni dengan hutang berbaki..
Selepas puas dan penat menangis. akhirnya, saya berkata kepada isteri.., " Kita meraung siang malam pun tak ada guna. Sayang... jom kita pegi buka kedai yer. Kita serah kepada Allah nasib kita. Kita usaha, kita bangkit, kita baiki balik, At least ada duit masuk daripada duduk menangis siang malam lagu ni...
" Kita kena bersyukur, sekurang-kurangnya Allah masih tinggalkan lagi baki RM100 dalam kocek untuk kita bermula semula.."
Hampir setiap malam berdoa pada Allah agar dikeluarkan dari bencana ni. Sungguh! hutang ni mendatangkan kerisauan di malam hari dan kehinaan di siang hari. Tak tertanggung jiwa raga.
Dan pada masa tu seminggu sebelum raya, bermodalkan RM100 yang tinggal, kami buka balik restoran dan mulakan semula operasi. Mulakan balik dengan apa yang ada. Beli sayur sikit, ayam sikit, daging sikit, dan satu sen pun tak tinggal modal..
Saya cakap benar dan jujur, tiada satu sen pun yang tinggal. Tukang masak tak ada masalah sebab kami berdua yang jadi chef nya. Pekerja lain? Adik ipar dan beberapa pekerja part time (student kolej berdekatan, student dari sarawak yang tak balik raya).
Cerita hari pertama..
Dapatlah hasil jualan RM100 selepas 2 jam beroperasi, pergi beli tambahan bahan mentah RM100 pula. 2 jam selepas tu dapat hasil lagi RM100 pergi beli tambahan ayam , ikan, sotong, udang dan beras..
Hari pertama dapat jualan RM 700 (lebih kurang, hasil dari modal RM100 pertama yang dipusing beberapa kali pembelian dalam masa sehari).
Hari kedua dah punya modal yang mencukupi., Syukur Alhamdulillah.. Allah Maha Kuasa, ramainya pelanggan.
Subhanallah! Keajaiban berlaku. Dari seminggu sebelum raya dan 2 minggu selepas raya, saya dapat langsaikan hampir 3/4 dari hutang atau bebanan yang ada. Hampir RM35,000. Saya sendiri pada masa tu tidak sempat rekodkan jumlah jualan harian atau keuntungan berasa sangat hairan bin ajaib dari mana datangnya duit sebanyak tu untuk selesaikan hutang.
Sampai ke hari ni ianya masih menjadi misteri dan tandatanya. Siang malam kami suami isteri cuba cari jawapan dari mana datangnya sumber wang itu namun tak jumpa. Apa yang saya tahu, hutang selesai. Walaupun tak semua tapi hampir 4/5 hutang yang ada., SELESAI..
Kami BEBAS dan mula terseyum.
Kisah ni betul-betul terjadi pada saya 5 tahun lepas dan bila mengenang kembali, saya selalu mengucap SYUKUR ALHAMDULILLAH. Berkat doa dan restu ibu, dan doa yang yang tak henti-henti, keajaiban boleh berlaku bila-bila masa dengan keizinan Allah..
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.. Allah mendengar permintaan hambaNYA yang betul-betul meminta dan tiada putus-putus meminta. Hanya pada waktu yang betul-betul tersepit, kita paling dekat dengan Allah. Allah tidak melakukan sesuatu dengan sia-sia.
Segala ujian yang diturunkan adalah untuk membuatkan kita lebih kuat dan berjaya. Jangan mengeluh bila ditimpa ujian. Kembalilah kepadaNYA. Pasti jaya menunggu kita.
Percayalah..
" Disebalik kesulitan, pasti ada kemudahan ".
" Selagi nyawa di kerongkongan, selagi tu masih ada harapan" InshaAllah..
Kredit : D'Apple

SURI INI KONGSI 7 TIP MENGELAK KETIRISAN BAJET SETIAP BULAN


Assalamualaikum dan salam Sejahtera,

Selain daripada persoalan bisnes hal pengurusan kewangan rumah tangga antara topik yang kerap singgah di inbox saya.

Saya bukanlah individu yang terbaik untuk memberi panduan, walau bagaimanapun saya suka untuk berkongsi pengalaman saya dan bagaimana saya dan suami menguruskannya.

Soalannya ialah, ‘Bagaimana mengelakkan kebocoran bajet dan mahu pasangan‘alert’ dengan keperluan bajet keluarga serta memberi keutamaan kepadanya berbanding hal lain yang lebih kepada kemahuan?‘.

Saya tidak pasti sama ada apa yang bakal saya kongsikan ini praktikal atau tidak kepada suri di luar sana tetapi ianya berkesan buat saya. Saya dan suami telah mengamalkannya sejak hari pertama berkahwin.

Suami saya seorang yang ‘structured’. Mungkin disebabkan latar belakangnya sebagai ‘Industrial Engineer’ yang mencoraknya begitu. Saya patut berterima kasih kepada beliau kerana ianya amat membantu dan memberi manfaat positif. Kalau harapkan saya memang ke laut.

Lain padang lain belalang. Jika tidak sesuai ambil sebagai sekadar perkongsian ya.


1. Senaraikan bajet bulanan




Anda perlu senaraikan bajet bulanan anda secara konsisten setiap bulan. Wang masuk, wang keluar dan perbelanjaan anda.

Hantar kepada pasangan anda fail yang telah dikemaskini dengan bayaran dan baki wang gaji berdua. Dengan cara ini kedua-dua pihak akan alert tahap kewangan keluarga dan tidak akan timbul masalah ‘wang engkau wang engkau, wang aku wang aku’ dan salah sangka antara satu sama lain.

Baki wang yang tinggal dalam ruang merah itulah yang boleh anda dan keluarga berbelanja untuk hal-hal ‘kemahuan’.

Saya ada excel spreadsheet ringkas yang siap dengan formula dibuat suami. Cuma key-in sahaja, terus ‘auto calculated’. Saya telah gunakan fail ringkas ini semenjak tahun 1999. Jika ada yang mahu boleh PM saya, saya hantarkan melalui email.

2. Bayar bil bila masuk sahaja gaji. Jangan bertangguh!

Masuk sahaja gaji terus buat bayaran kepada semua komitmen anda.
Apa yang boleh dibayar online selesaikan SEGERA secara online. ‘Add Favourite’ semua account yang boleh dibayar online supaya proses pembayaran tidak terganggu dan anda tidak punya alasan untuk tidak membayar.

Bagi yang tidak boleh dibayar online, terus ambil tunai dan masukkan ke dalam sampul surat mengikut kategori. Contohnya: pengasuh, duit sekolah anak, duit van, duit mengaji, duit groceries mingguan, petrol dan lain-lain. Kemudian terus serahkan pada empunya, jangan biar di tangan lama-lama.

Macam saya sewaktu bekerja, sampul duit groceries saya tinggal di pejabat untuk mengelakkan saya menggunakannya jika sentiasa di dalam beg tangan. Saya mengambil ikut jumlah yang ditetapkan pada minggu tersebut sahaja. Jika anda mahu melakukan perkara yang sama pastikan tahap keselamatan pejabat anda adalah baik.

3. Simpanan tetap

Buat potongan gaji terus. Tetapi masalah juga kerana kita boleh usaha pergi ambil pula. Ibarat nak tuju ke sesuatu tempat dan alamat lengkapnya kita ada.
Jika ada peluang boleh ambil fixed deposit atau pinjaman ASB yang berupa simpanan. Simpanan terpaksa sebenarnya kerana anda tidak boleh mengambil wang yang anda simpan setiap bulan itu kecuali dividen sahaja pada setiap hujung tahun.

4. Sedekah

Ini pun cabaran juga. Nak tunggu ada lebihan $ baru nak sedekah, entah bila.
Buat potongan terus ke akaun penerima, tak payah banyak kalau rasa sangkut-sangkut.
2-3 puluh ringgit dah cukup tapi konsisten setiap bulan. Anda boleh taja anak yatim, pelajar tahfiz, anak-anak Palestin melalui Aman Palestin dan banyak lagi saluran. Cari… bersepah orang yang memerlukan. Kalau tak jumpa juga anda boleh hubungi NGO Wargakilang, setiap minggu mereka masuk kampung hantar beras, gula dan segala macam barang keperluan kepada orang susah.

5. Berbelanja dengan tunai bukan kad kredit

Jika anda belum mampu mengurus wang dengan baik saya cadangkan anda hentikan penggunaan kad kredit atas apa alasan sekalipun. Kad kredit ini sebenarnya kita berHUTANG, guna dahulu bayar kemudian.

Saya dan suami berhenti menggunakan kad kredit semenjak tahun 2003. Sudah 11 tahun rupanya. Alhamdulillah.

Antara alasan untuk menggunakan kad kredit ialah mendapat ganjaran ataspoint-point yang digunakan, kecemasan, nak ke luar negara dan sebagainya. Saya berfikiran begitu juga sebelum ini.

Tidak ada masalah pun sebenarnya jika anda mahu ke luar negara dengan hanya menggunakan kad debit. Buat panggilan sahaja ke bank-bank anda, tak sampai 5 minit urusan untuk mengaktifkan akaun kad ATM (debit) anda di luar negara selesai. Mudah sahaja sebenarnya. Saya membeli barang secara borong dengan pembekal dari China pun hanya menggunakan kad debit.
Orang perempuan terutamanya suka membeli belah. Layan shopping onlineboleh berpusing anak mata hitam. Kad kredit ada, transfer saja. Sakit nanti.

6. Refinance

Jika bukan untuk hal yang berbaloi atau keperluan sebolehnya elakkan. Sahabat baik saya punya pengalaman perit hal ini. Beliau membuat refinance rumahnya dan duit yang beliau dapat digunakan untuk membesarkan rumah. Nasib kurang baik, ditipu kontraktor pula. Rumah tak siap, duit lesap, hutang makin bertambah, tempoh masa juga bertambah. Ini contoh jerat wang kita tak sedar. Sedar-sedar bila dah berumur kita rasa penat bekerja hanya untuk membayar hutang. Ini contoh sahaja, banyak lagi contoh lain. Sahabat saya ini selalu mengingatkan saya jangan buat silap seperti beliau. Biar hidup sederhana. Terima kasih sahabat!

7. Tak perlu buktikan apa-apa

Usah bandingkan pinggan kita dengan pinggan orang lain.
Ini sebenarnya masalah yang kita wujudkan sendiri. Selalu rasa lauk dalam pinggan kita tak cukup dan tak sedap.

Bersyukur dengan apa yang kita ada.

Usah dilihat dan diukur kebahagian itu secara luaran. Berkereta mahal, rumah besar, baju berjenama, bercuti sana-sini bukan ukuran kebahagian. Itu mungkin simbol palsu kebahagian sahaja.

Ramai yang terjerat mendefinisi kebahagiaan secara begini. Tetapi kepala berserabut dengan ketirisan bajet.

Ini antara 7 point penting bagi suri rakyat biasa seperti saya fikirkan. Golongan poket tebal @ jutawan mungkin lain ceritanya. Seperti saya katakan tadi, lain padang lain belalang. Tidak sama senario dan aplikasinya bagi setiap orang.

Didoakan ada manfaatnya.


Kredit : http://thevocket.com/

BUDAYA BERNIAGA


Kita masyarakat Melayu-Bumiputera khususnya, masih kurang budaya berniaga.

Sudah mula ramai tetapi belum cukup ramai. 



Kerana kita dapat melihat dalam struktur masyarakat, wujud keluarga cikgu, ada keluarga pegawai tinggi kerajaan dan tidak ketinggalan keluarga GLC. Malah, ada keluarga dari emak, bapa dan anak-anak semua dalam sektor yang sama. Tanpa budaya berniaga dalam keluarga, ia menyebabkan: 

Sukar untuk kita memulakan perniagaan sendiri sebab kita tidak tahu cara yang betul untuk bermula. 

Tidak ramai dapat menjadi seorang pelabur yang baik kerana tidak faham bagaimana bisnes beroperasi. 

Anak-anak Melayu-Bumiputera yang pandai-pandai dikumpulkan dan dimasukkan ke sekolah berasrama seawal usia 12 tahun. Selepas SPM dihantar pula ke universiti-universiti yang terkemuka. Habis belajar dengan segulung kertas ijazah mereka perlu bekerja semula dengan pihak yang menaja mereka. 


Sebab itu bila anak Melayu-Bumiputera yang mempunyai ijazah dan memilih untuk berniaga ramai yang mendapat tentangan dari keluarga & masyarakat. 

Penat-penat belajar 5 tahun di universiti, kenapa tak jadi ____________ (isi tempat kosong) ? 

Kan senang kerja dengan _____________ (isi tempat kosong). Nak beli rumah senang, nak beli kereta senang, sakit pun senang. 

Anak-anak hilang punca. 

Ingin mengadu kepada ayah, si ayah pegawai tinggi kerajaan. Mengadu kepada ibu, si ibu seorang cikgu. Suka tidak suka terpaksa juga bekerja dalam bidang yang sama dengan bidang ijazahnya walaupun tidak minat. 

Terpaksa. 

Seterusnya, apabila masyarakat kita majoritinya bukan masyarakat berniaga, maka cara urus duit adalah cara urus duit dengan mentaliti orang makan gaji. Kalau kerja syarikat besar, mesti cari kereta yang sepadan. Bangga mak tengok anaknya telah “berjaya”. 

“Eh, tiap-tiap bulan kan gaji masuk. Kenapa masih pakai kereta buruk je?” 

Sampai mahu berkahwin pun jalannya mudah. Kan ada personal financing, kan ada slip gaji. Seterusnya berkahwin dengan berhutang 10 tahun 

Seterusnya keluarga semakin membesar. Gaji & pangkat tidak naik secepat yang diharapkan. Akhirnya, terdesak untuk mencari pendapatan tambahan. Disebabkan mentaliti pelabur belum disuburkan, maka mudah percaya dengan pujuk rayu seperti berikut: 

“Abang tak perlu jual barang, cuma cari 2 orang sahaja downline. Itu pun online je sekarang!” 

“Abang, harga emas sentiasa naik, abang re-finance lah rumah ni dan duit tunai itu aku boleh beli emas banyak-banyak sebagai pelaburan. Boleh dapat hibah setiap bulan.” 

“Abang, kita ada group main saham berjemaah, banyaknya tips kaunter mana boleh beli. Ikut je tips kami beri!” 

Benar, nak melabur tidak semestinya hanya orang yang berniaga. 

Siapa-siapa sahaja boleh melabur asalkan mempunyai modal. Tetapi pengalaman berniaga membolehkan kita menjadi seorang pelabur yang lebih baik. Kita dapat melihat sesuatu pelaburan itu dengan kaca mata orang yang faham bisnes. Yang tahu beza mana intan yang mana kaca. 

Dan sesungguhnya Nabi Muhammad (berselawatlah kamu) itu sendiri berniaga dan melabur. 



Kredit : pakdi.net

8 LANGKAH MENGURUSKAN KEWANGAN DENGAN BIJAK DAN SISTEMATIK

Kalau kita tidak merancang, maka kita merancang untuk gagal.

Kemahiran menguruskan wang.

Sama seperti kemahiran menjadi ibu bapa.

Kemahiran ini tidak diajar di sekolah-sekolah mahupun universiti. Sedangkan kita mula menguruskan wang sendiri sepenuhnya sejak memperoleh gaji / pendapatan sendiri sehinggalah kita meninggal dunia kelak.



Berikut adalah 8 langkah untuk tuan puan yang serius menguruskan wang dengan bijak dan sistematik.

1. Mempunyai Matlamat Kewangan

Kita semua mesti tahu apa yang kita mahu.

Apakah yang kita mahukan apabila menjelang usia persaraan yang barangkali lagi 10, 20, 30 tahun akan datang? Pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka masa panjang. Ibaratnya macam kita mahu menanam pokok durian.

Apabila kita mempunyai satu pandangan jauh, kita telah menetapkan langkah yang betul untuk berjaya. Kerana itulah Islam menyuruh kita berfikir mengenai mati, kerana keyakinan kita mengenai syurga neraka, kehidupan alam akhirat menyebabkan kita bersungguh-sungguh bekerja dengan penuh amanah di dunia.

2. Mempunyai Sumber Pendapatan yang Mencukupi

Dalam surah Yusuf, ayat 47 menyebut kepentingan menanam selama 7 tahun dengan bersungguh-sungguh.

Ya, dengan bersungguh-sungguh.

Dalam erti kata lain, sama ada kita makan gaji atau bekerja sendiri kita perlu benar-benar berjaya (termasuklah memperoleh gaji tinggi) dalam bidang kita. 7 tahun zaman senang itu tadi adalah untuk menghadapi 7 tahun zaman susah.

Jika kita tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi maka kita tidak dapat menyimpan seterusnya mengumpul aset-aset kekayaan. Apakah mempunyai hanya satu sumber pendapatan telah mencukupi? Bagaimana kita dapat menambah pendapatan sampingan?

3. Simpan Sebelum Belanja

Ayat 47, surah Yusuf juga menyebut dengan jelas hasil-hasil tanaman itu tadi disimpan dalam bentuk tangkai, selepas menyimpan barulah selebihnya kita belanjakan untuk hidup.

Kita perlu menangguhkan kepuasan terlebih dahulu.

Sekiranya kita membelanjakan semua pendapatan kita terlebih dahulu dan jika ada lebih baru kita mahu simpan, maka itulah langkah paling berkesan untuk mencipta masalah kewangan yang kronik.

Gaji – simpanan = belanja.

Mudah.

4. Berbelanja dengan Bijak

Kita perlu mengenal pasti keutamaan perbelanjaan kita.

Setelah kita menyelesaikan keperluan-keperluan asas hidup iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan maka kita perlu pastikan kita mengumpul aset-aset terlebih dahulu. Dalam hal ini, penyata kewangan (financial statement) memainkan peranan penting untuk kita menguruskan kewangan. Angka-angka dalam penyata kewangan dapat memberi petunjuk kepada kita sama ada pembelian ‘harta’ kita adalah bersifat aset atau pun liabiliti.

Penyata kewangan juga dapat menentukan sama ada kita patut menumpukan membaiki aliran tunai atau dapat fokus menambah aset-aset untuk tujuan capital gain.

5. Menguruskan Risiko Kewangan

Risiko adalah sesuatu yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.

Apa yang kita dapat buat adalah menguruskan risiko tersebut dengan efektif. Bagi kebanyakan orang, cara paling mudah menguruskan risiko kewangan adalah dengan membeli produk-produk takaful.

Dan untuk menjadi seorang yang betul-betul berjaya dalam pengurusan kewangannya, ilmu adalah sangat penting kerana produk takaful tidak mampu menguruskan semua risiko kewangan kita. Adakah ada produk takaful yang dapat melindungi kita dari inflasi, kejatuhan harga saham atau kemerosotan bisnes?

6. Membayar Zakat (… dan cukai!)

Zakat dan sedekah merupakan proses 3+1.

Dengan banyak memberi, kita dapat menyucikan harta, melindungi harta dan mengembangkan harta sekaligus. Harta-harta yang kita beri ini sama sekali tidak berkurangan, malah semakin bertambah dengan cara yang Allah sahaja yang tahu.


Zakat hanya untuk harta halal, manakala harta dari sumber haram kita perlu bersihkan 100%.


Manakala cukai pula, suka atau tidak kita pasti membayarnya! Duit itulah yang membolehkan kerajaan memberikan kita jalan, sekolah, longkang, hospital dan keperluan lainnya … untuk rakyat.

7. Membuat Pelaburan yang Bijak

Simpanan yang kita telah buat itu adalah untuk dijadikan modal pelaburan.

Tujuan pelaburan kita adalah untuk kegunaan menunaikan haji, tabung persaraan, tabung pendidikan anak-anak, tabung percutian dan apa-apa sahaja matlamat kewangan kita.

Kita perlu tahu menyusun strategi pelaburan dengan bijak. Sama seperti permainan bola sepak, ada strategi menyerang seperti 4-3-3, ada strategi bertahan sepeti 5-4-1 mahupun false-nine (4-6-0) berdasarkan kelas aset tertentu.

8. Membahagikan Harta

Setelah kita berjaya mengumpul harta, jangan lupa menyediakan exit strategy ini kerana kita semua pasti mati. Selain faraid, kita ada instrumen-instrumen tertentu seperti wasiat, hibah, wakaf yang dapat menentukan ke mana harta kita selepas mati.

Pembahagian harta ini adalah sangat penting. Harta untuk anak angkat, anak luar nikah, anak susuan, tidak mempunyai anak lelaki misalnya antara isu pembahagian yang mesti diselesaikan sebelum mati. Jangan sampai harta kita beku sebab kelalaian kita dalam urusan ini.

Mahukah tuan mula menguruskan duit gaji secara sistematik ? Seterusnya dapat keluar dari hutang dengan lebih cepat. Tutorial Online Panduan Cashflow dapat membantu tuan. Sila klik link di bawah untuk maklumat seterusnya.


Kredit : pakdi.net

FORMULA ASAS ALIRAN TUNAI / CASHFLOW





Inilah formulanya : I – E = S

Ini adalah formula asas perancangan kewangan. Tidak perlu matematik tinggi atau kursus perakauan atau PhD utk memahaminya.

I = INCOME (PENDAPATAN),

E = EXPENSES (BELANJA), dan

S = SURPLUS (BAKI).


Ia juga dipanggil sebagai CASHFLOW atau ALIRAN TUNAI.

Prinsip asasnya ialah, S mesti postitif agar ALIRAN TUNAI tidak terganggu.

Untuk memastikan S berada dalam keadaan positif, maka faktornya ialah I dan E.

Sebenarnya, PENDAPATAN dan BELANJA adalah faktor di dalam kawalan kita.


I = INCOME / PENDAPATAN

Kita tidak boleh untuk mengawal tangga gaji yang diberikan oleh majikan kita, tapi kita boleh berusaha untuk mendapatan PENDAPATAN tambahan dengan memilih pekerjaan tau bisnes baru.

E = EXPENSES / BELANJA

Kita tidak mampu untuk mengawal harga barang, harga tol, harga petrol, tarif eletrik, kadar cukai, dan sebagainya, tapi kita ada pilihan untuk memilih gaya hidup dengan BELANJA di bawah PENDAPATAN kita.

Jika S adalah negatif, maka caranya ialah sama ada, dengan meningkatkan I atau mengurangkan E.

Kredit : http://rahsiatakaful.com/