Bimbang tiada wang mencukupi bila bersara.

KUALA LUMPUR - Tidak mempunyai wang yang cukup untuk membiayai kehidupan harian selepas persaraan adalah kebimbangan utama 88 peratus pekerja Malaysia, demikian menurut satu kajian.
Menurut laporan HSBC, 'Masa Depan Persaraan: Satu Perimbangan', 49 peratus daripada mereka berkata, pembayaran balik hutang menghalang mereka untuk membuat persediaan persaraan yang selesa.

"Kemelesetan ekonomi dunia juga menjejaskan pelan persaraan mereka di mana 36 peratus telah berhenti atau mengurangkan simpanan melalui deposit tunai, anuiti atau pelaburan; 32 peratus kurang berkemampuan menyimpan untuk persaraan dan 28 peratus mendapati diri mereka akan terjebak dengan hutang," katanya.

Laporan berkenaan berdasarkan hasil kajian dalam talian ke atas 1,000 orang dalam usia bekerja (25 dan ke atas) serta dalam persaraan oleh Ipsos Mori pada Ogos dan September 2014.

Ketua Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Malaysia, Lim Eng Seong, berkata bajet mereka semakin sukar.

"Jumlah terkecil disimpan mulai sekarang boleh mengurangkan kesan jangka panjang tempoh yang mencabar ini dan menjadikan kemungkinan persaraan lebih selesa lebih nyata," katanya pada taklimat media mengenai laporan itu di sini, hari ini.

Eng Seong berkata, 27 peratus daripada mereka yang bakal bersara, ketika ini tidak atau tidak mempunyai hasrat untuk menyimpan untuk persaraan.

"Ini seperti mengaitkan generasi X dan Y, di mana mereka mempunyai pemikiran untuk memilikinya secara ‘segera’, bagi menikmati hidup hari ini dan memikirkannya esok.

"Saya harap generasi muda melihat ke depan mengenai persaraan dan hal-hal kesihatan dan tidak bergantung semata-mata kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerana ia akan bertahan kira-kira lima tahun jika mereka mempunyai purata simpanan RM50,000,” katanya.

Sebagai permulaan, kata Lim, mereka yang berusia antara 20 dan30 tahun perlu menyimpan kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada gaji mereka setiap bulan dan meningkatkannya beransur-ansur apabila gaji bertambah.

Kredit : Bernama

 Duit tak cukup apabila sudah bersara?

Biarpun cacat kebajikan ibu tetap no.1

MESKIPUN tanpa fizikal yang sempurna, Chen Xinyin, 48, dari Chongqing, di barat daya China, tetap tidak lupa pada tanggungjawab untuk menjaga ibunya yang tua dan uzur.

Sejak kehilangan kedua belah tangannya selepas terkena renjatan elektrik ketika berusia 7 tahun, dia belajar untuk memasak, menganyam bakul dan berkebun bagi meneruskan kehidupan seharian seperti manusia normal lain.

Tahun lalu, lelaki ini mula menjaga ibunya sepenuh masa sambil menguruskan kebun kecil miliknya. Lebih-lebih lagi wanita berusia 91 tahun itu kini lumpuh dan tidak boleh menggerakkan tangannya sejak sebulan lalu.

Dengan hanya menggunakan kaki dan anggota tubuh lain, Chen Xinyin melakukan pelbagai tugas harian termasuk menyuapkan makanan kepada ibunya dengan cara memegang sudu menggunakan giginya.

Nyata, ketabahan lelaki ini membuahkan hasil apabila dia berjaya mengaut keuntungan dengan hasil usaha sendiri melalui tanaman gandum, jagung dan ternakan 24 ekor biri-biri, dua kerbau serta empat ekor ayam.

“Saya tidak punya tangan tetapi ada sepasang kaki yang baik. Saya tidak boleh cari duit dengan cara itu,” katanya ketika ditanya tentang pendapatan lumayan yang biasanya pengemis di bandar perolehi.

Selain itu, dia menolak idea tersebut bukan sahaja kerana menjaga maruah, tetapi juga kerana bimbang siapa akan menjaga ibunya jika dia ke bandar. – Daily Mail

Kredit : Sinar Harian

Menjaga ibu walaupun cacat fizikal.

Gagal dapat pekerjaan, gadis jual diploma

AKIBAT gagal mencari pekerjaan dalam bidang yang dipelajari dan masih mempunyai hutang pengajian sebanyak AS$40,000 (RM167,488), Stephanie Ritter bertindak menjual diplomanya di laman jualan atas talian eBay.

Menurut Dailymail, gadis berumur 26 tahun dari Southern California berkenaan 'sangat kecewa' kerana gagal mencari pekerjaan yang menggunakan diploma berkenaan.

"Saya fikirkan sekeping kertas ini (diploma) sangat berharga kepada ramai orang, tetapi untuk bidang teater, ia tiada nilai," kata Ritter kepada BuzzFeed.

Ritter menamatkan pengajian pada 2011 di universiti Florida State (FSU) dalam bidang teater dan hanya bekerja sebagai pembantu tadbir sehingga kini.

"Saya asyik melakukan perkara yang sama (sebagai pembantu tadbir) dan jumlah gaji saya kemungkinan besar dengan jumlah gaji mereka yang gagal dalam pengajian.

"Bezanya, saya mempunyai hutang pengajian sebanyak AS$40,000 dan mereka (yang gagal dalam pengajian) tidak mempunyai hutang," jelas Ritter.

Perasaan kecewa berkenaan memaksa Ritter menjual diplomanya, bersama-sama dengan 'pengalaman belajar di FSU'.

Ritter meletakkan harga AS$50,000 (RM209,360) iaitu jumlah kos yang dikeluarkannya untuk menamatkan pengajian tersebut.

Selain diploma tersebut, Ritter juga menawarkan untuk membawa 'pembeli berpotensi' untuk berjalan-jalan di FSU.

"Kenapa membazirkan masa selama empat tahun untuk mendapatkan sekeping kertas? Anda boleh beli kertas (diploma) kepunyaan saya!" tulis Ritter di Ebay.

"Berhati-hati dengan hutang pengajian," nasihat terakhir Ritter.

Tindakan Ritter bagaimanapun mengundang sinis pelayar laman sosial.

"Anda tidak selidik tentang prospek pekerjaan teater sebelum memulakan pengajian, padan muka," kata Paul Davis.

Kredit : Sinar Harian


Jual Diploma kerana tidak dapat kerja.

7 Perkara Penting Yang Patut Dibuat Sebelum Dapat Gaji Pertama

Tahukah anda setiap hari secara purata 60 orang belia berusia 33 tahun hingga 40 tahun telah diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI)?
Dilema Kewangan Gen-Y
Hal ini terjadi kerana jahil tentang pengurusan kewangan di usia muda 20-an. Lebih malang lagi apabila kem motivasi dan seminar kerjaya tidak memberikan penekanan terhadap pengurusan kewangan peribadi di kalangan bakal graduan. Apabila mula bekerja dan mendapat gaji, mereka tidak tahu menguruskan sejumlah wang yang banyak di dalam dunia sebenar.
Natijahnya, ramai belia yang baru bekerja sedang teruja menikmati hidup di luar kemampuan mula terbelenggu dengan masalah kewangan yang teruk. Mereka menyalahgunakan kemudahan pinjaman dan kad kredit dan membeli kenderaan dan gajet mengikut kehendak, bukan keperluan. Malah, mereka gagal mendidik diri bagi menghadapi peningkatan kos hidup yang mendadak.
Jadi persoalannya sekarang ialah, bagaimanakah cara menggunakan gaji sebaik-baiknya?
7 Perkara Penting Yang Anda Patut Buat Sebelum Terima Gaji
Berikut adalah tujuh perkara penting untuk anda memahami tentang wang dan bagaimana ia akan membantu anda hidup selesa dan sejahtera pada tahun-tahun seterusnya.
1. Azam hidup muda tanpa hutang
Tanamkan azam di dalam diri untuk hidup bebas tanpa hutang. Maka, anda mesti pandai mengukur baju di badan sendiri ketika berbelanja supaya gaya hidup selari dengan pendapatan yang diterima setiap bulan.
Anda juga perlu belajar mengutamakan keperluan berbanding kemahuan bagi menjayakan azam ini.
2. Kenalpasti keperluan perbelanjaan
Semasa menguruskan kewangan, anda perlu membahagikan perbelanjaan bulanan kepada beberapa kategori perbelanjaan. Dengan cara ini anda akan dapat meminimakan kehendak dan mengutamakan keperluan.
Disamping itu, amalan teknik duit perbelanjaan di dalam sampul juga dapat menjadikan diri anda berdisiplin dan bertanggungjawab dalam soal membelanjakan wang.
3. Ambil tahu tentang gaji dan cukai
Anda mesti tahu jumlah gaji bersih selepas ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan potongan lain. Anda juga perlu periksa di KWSP dan PERKESO tentang caruman yang dibuat agar tidak menjadi mangsa tipu majikan.
Anda juga perlu membayar cukai pendapatan setiap tahun. Maka, anda mesti tahu tentang cara untuk rebat cukai dan mengurangkan pendapatan bercukai anda melalui perbelanjaan yang akan diberi pelepasan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Antaranya, memiliki insuran nyawa dan perubatan.
4. Mempunyai perlindungan diri
Anda perlu tahu kepentingan melindungi diri dengan insuran perubatan dan insuran nyawa kerana sakit dan mati tidak mengenal usia. Maka, masa terbaik untuk melanggan perlindungan diri adalah sewaktu tubuh badan masih sihat dan muda kerana yuran bulanan masih rendah.
Insuran penting sebagai persediaan bagi menghadapi risiko kehilangan punca pendapatan apabila berlaku kematian, kemalangan, kesakitan atau kehilangan upaya. Ada juga perlindungan diri yang boleh dijadikan simpanan hari tua.
Selain insuran, anda perlu tahu bahawa caruman PERKESO adalah untuk melindungi anda sewaktu bekerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Sosial Pekerja 1971.
5. Mula penyimpanan untuk hari tua
Apabila mula bekerja, anda dikehendaki menjadi ahli KWSP di mana majikan akan menyumbangkan 13% daripada jumlah gaji ke dalam akaun anda dan 11% daripada gaji anda. Wang ini tidak boleh dikeluarkan sesuka hati kerana KWSP adalah tabung simpanan persaraan terutama bagi mereka yang bekerja sendiri dan swasta.
Namun begitu, anda tidak digalakkan hanya bergantung kepada KWSP sahaja untuk tabung persaraan kerana menurut statistik KWSP tahun 2013, simpanan KWSP sahaja tidak mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan sehingga umur 75 tahun.
6. Urus bayaran pinjaman secara automatik
Kebanyakan graduan mempunyai hutang pinjaman pelajaran. Tidak membayar pinjaman adalah satu masalah besar. Anda boleh disenaraihitamkan sehingga tidak boleh ke luar negara dan sukar membuat pinjaman. Maka, usahakan pembayaran pinjaman balik dan sebaik-baiknya ia dilakukan secara potongan gaji atau akaun supaya tidak culas.
Sekiranya tidak mampu membayar jumlah bulanan yang ditetapkan kerana menerima jumlah gaji yang kecil, berbincanglah dengan pihak pemberi pinjaman agar dapat membenarkan anda membayar balik pinjaman berdasarkan kemampuan kewangan anda.
7. Pelaburan penjana kekayaan
Wang simpanan jangka masa pendek, wang bonus tambahan, dan wang kenaikan gaji tahunan boleh dijadikan modal awal untuk anda membuat pelaburan. Untuk melabur, anda perlu tahu tentang ilmu dan strategi pelaburan. Jika tidak, wang yang dilaburkan akan lebur sebelum mencapai matlamat kewangan anda.
Ada juga membeli rumah sebagai satu bentuk pelaburan jangka masa panjang. Dalam masa yang sama anda boleh menjadikan rumah sebagai sumber pendapatan tambahan melalui penyewaan rumah/bilik atau perkhidmatanhomestay apabila ada permintaan.
Kredit : The Vocket

10 Kunci Buka Pintu Rezeki Suami Isteri

Bahagia paling mudah dalam keluarga adalah apabila kita ada masa untuk berkomunikasi dan bergurau senda bersama mereka. Sebagai bonus, ukhuwah yang diikat mampu bagi pulangan rezeki yang berganda. Tapi percaya atau tidak, 10 cara ini mampu alirkan rezeki buat anda dan keluarga tersayang. Jom, amalkan...


1. Curi masa untuk bermesra dan gembirakan sentiasa pasangan hidup.
2. Jangan kedekut untuk belanja pansangan beli sesuatu. Ingat ya suami, duit yang anda keluarkan pada isteri itu mampu gandakan rezeki anda setiap hari. Sila amalkan!
3. Tak payah mengeluh kalau tetiba tahu isteri hamil lagi. Makin ramai anak, makin terbuka pintu-pintu rezeki dalam keluarga. 

4. Makan bersama anak-anak dan isteri lagi banyak rezeki yang muncul.
5. Biasakan perkataan dan bahasa yang lembut bersama suami dan isteri. Lagi manis kalau ada panggilan manja. 
6. Pujuklah dan cuba tenangkan hati isteri ketika resah dia gelisah dan bersedih.

7. Cium dan peluk isteri sebelum keluar kerja.
8. Salam dan cium tangan suami sebelum suami keluar rumah.

9. Melayan karenah anak-anak sehabis mampu.
10. Bergurau senda bersama suami isteri sebelum tidur waktu malam.

Kredit : Mingguan Wanita

Keluarga Bahagia,Keluarga yang harmoni