Berhenti merokok, simpan duit

17 OGOS 2015

NILAI - Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan suami manja-manjakan.

Peribahasa ini memang biasa kita dengar. Persoalannya, bagaimana kalau sayangkan diri sendiri? Itu Azman Samad, 52, ada jawapannya.

“Senang saja, dik. Kalau sayangkan diri, simpan-simpankan,” katanya membuka bicara kepada Sinar Harian.

Berkerut dahi cuba memahami maksud Azman yang cukup mendalam.

Walaupun ringkas dan padat jawapannya, tersembunyi kisah menarik untuk dikongsi bersama pembaca.

Bagi mereka yang belum mengenali Azman, mungkin tidak tahu kelebihan dimiliki bapa kepada lima orang anak ini.

Dahulu, dia perokok tegar yang tampak seperti tidak akan berhenti sampai bila-bila.

Siapa sangka, pejam celik pejam celik, kini sudah lima tahun Azman meninggalkan tabiat itu.

Sebagai pendorong semangat, duit yang sepatutnya digunakan untuk membeli rokok sejak 2010, disimpan dalam tabung.

“Sehari sebelum Tahun Baru Cina, terdetik dalam hati saya nak berhenti merokok. Puncanya, masa tu saya cuba nak minta sebatang rokok daripada kawan.

“Rupa-rupanya, kawan tu dah sebulan tak merokok. Saya pun mula terfikir. Kalau dia boleh, kenapa saya tak boleh?,” katanya yang bekerja sebagai chargeman.

Dengan azam yang tekad, Azman mula menjauhkan diri dari rokok mulai hari itu juga.

“Kebetulan saya teringat pada satu artikel dalam akhbar sekitar 2008. Ada tips untuk berhenti merokok.

“Salah satunya, pastikan kita boleh nampak hasil daripada usaha dijalankan. Jadi saya pilih kaedah menabung,” katanya.  

Sebagai permulaan, Azman menggunakan tong cat bersaiz 18 liter yang ditebuk pada bahagian atas.

“Lebih kurang empat bulan kemudian, saya tukar pada tong air sebesar 30 liter yang ada pengunci. Beli di kedai perkakasan di Rahang Kecil.

“Kena buat macam tu, sebab duit syiling asyik berkurang dalam tong cat. Anak-anak suka ambil buat beli makanan ringan,” katanya sambil tertawa.

Menurut Azman, dia memutuskan untuk menyimpan antara RM30 dan RM300 sebulan, berdasarkan harga semasa sekotak rokok pada lima tahun lalu.

“Saya simpan duit syiling saja. Kalau duit kertas, takut rosak kena makan lipas. Kadang-kadang, ada juga duit gaji tak sempat masuk tabung sebab guna untuk keperluan lain,” katanya.

Sejak itu, katanya, bekas tersebut tidak pernah dibuka kecuali dua tahun lepas bagi memastikan duit disimpan berkeadaan elok.

“Itu pun sekejap saja. Bila tengok tak berkarat, terus tutup balik. Tapi dua minggu sebelum puasa tahun ni, terpaksa buka sekali lagi sebab dah penuh.

“Bila kira semuanya, memang terkejut. Ingatkan cuma RM3,000 lebih, rupa-rupanya RM6,115,” katanya.

Ditanya perancangannya, Azman memberitahu, kesemua duit itu disimpan dalam bank untuk digunakan sebagai belanja tambahan ketika menunaikan ibadah haji, September nanti.

“Rasa macam mimpi, dah lima tahun berhenti merokok. Selain bertambah sihat dan dapat simpan duit, saya boleh jadi contoh teladan pada anak-anak.

“Terus-terang, saya memang tak suka anak merokok. Tapi kalau saya sendiri tak berubah, macam mana mereka nak dengar. Nampak cakap tak serupa bikin,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai kejayaan suaminya yang mula menjadi perhatian umum di Facebook pada 27 Jun lalu, Rasidah Mawahid, 46, punya komen tersendiri.

“Akak mula terfikir nak masukkan kisah abang lepas baca pengalaman seorang kawan dalam Facebook yang turut menabung duit syiling untuk suka-suka.

“Tak sangka lepas muat naik gambar dan cerita, jadi tumpuan ramai. Setakat ni, lebih kurang 9,068 orang berkongsi cerita tu,” katanya.

Menurut Rasidah, tidak dinafikan, mula-mula dia agak takut kerana perbuatan itu dilakukan tanpa pengetahuan Azman.

“Tapi perasaan tu hilang bila tengok respons positif daripada abang. Dia dapat tahu daripada salah seorang jemaah yang ucap tahniah selepas solat terawih, bulan puasa lepas,” katanya.

Bagi Azman pula, tiada apa yang hendak dikatakan kecuali berharap kisahnya dapat menjadi contoh dan perangsang kepada mereka yang sedang berusaha untuk berhenti merokok.

“Cuma pesan saya, benda ni macam buat jeruk. Kalau kerap sangat rasa, nanti belum sampai masa dah habis.

“Sama juga halnya dengan menabung. Tak payah nak peduli dah simpan berapa banyak. Penuh nanti, baru ambil tahu,” katanya yang akan meneruskan aktiviti tersebut.

Kredit : Sinar Harian


 Duit merokok kepada Duit Simpanan

No comments:

Post a Comment